Wednesday, July 4, 2007

Lepasan SPM boleh terus ikuti ACCA, LCCI

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki kertas Prinsip Perakaunan boleh memilih untuk mendapatkan sijil tambahan sama ada daripada satu atau kedua-dua badan perakaunan profesional - The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan London Chamber of Commerce and Industry (LCCI).
Walau bagaimanapun, hal ini tertakluk kepada syarat iaitu pelajar tersebut perlu mencapai tahap gred SPM dan bahasa Inggeris, sebagaimana yang ditetapkan.
Badan ACCA menawarkan pensijilan kepada pelajar sebagai telah mencapai tahap lulus setara bagi Paper 1 dan Paper 2 untuk Level 1, dan LCCI pula sehingga Level 2 LCCI Qualification.
Hal ini bermakna pelajar lepasan SPM yang mengambil mata pelajaran Prinsip Perakaunan diberikan pengecualian menduduki Paper 1 dan Paper 2 bagi Level 1 ACCA (daripada keseluruhan tiga level), dan untuk LCCI pula mereka dikecualikan menduduki Level 1 dan Level 2 (daripada keseluruhan tiga level).
Melalui projek dua pensijilan itu, pelbagai kelebihan bakal dinikmati oleh para pelajar yang menduduki Prinsip Perakaunan.
Antaranya ialah para pelajar mempunyai ruang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan sehingga ke peringkat lebih tinggi melalui saluran profesional iaitu dengan terus menduduki ACCA dan LCCI yang telah diberi pengecualian daripada peperiksaan awalan.
Bagi pelajar yang tidak berpeluang meneruskan pengajian perakaunan ke peringkat yang lebih tinggi, sijil profesional melalui dua pensijilan ini membolehkan mereka menceburi pekerjaan dalam bidang perakaunan di peringkat perkeranian/penyimpan kira, sama ada di dalam atau luar negara.
Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menandatangani memorandum persefahaman tentang hal itu, berharap kohort pertama, iaitu sekumpulan 400 pelajar tingkatan lima yang sedang mengikuti dua pensijilan itu akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada peluang yang diberikan.
``Walaupun kumpulan pelajar yang dijangka akan melalui kurikulum baru sepenuhnya merupakan kohort SPM 2009, saya difahamkan pihak ACCA dan LCCI bersetuju juga memberi manfaat dua pensijilan kepada pelajar kohort SPM 2008,'' katanya.
Sebagai maklumat latar, sehingga kini terdapat sebanyak 1,600 sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menawarkan mata pelajaran prinsip Perakaunan serta sebanyak 51 Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang menawarkan mata pelajaran itu.
Saban tahun, sebanyak 100,000 pelajar akan menduduki peperiksaan Prinsip Perakaunan SPM.
``Pada tahun ini sahaja sebanyak 98,000 akan menduduki peperiksaan itu di peringkat SPM,'' kata Hishammuddin.

No comments: