Friday, August 17, 2007

“Biarlah Pak Long mati di sini’’

DUA minggu lepas saya mengikut seorang teman ke sebuah rumah kebajikan warga emas untuk memberi sumbangan makanan dan keperluan harian.
Sebaik sampai, teman saya terus masuk bertemu penjaga rumah berkenaan bagi menyampaikan hajatnya sementara saya menunggu di luar sambil meninjau suasana sekeliling.
Dalam memerhati, mata saya terpaku kepada seorang lelaki berusia lingkungan 70-an sedang duduk termenung di sebuah bangku panjang di bawah sebatang pokok berhampiran surau rumah kebajikan itu.
Melihat tingkahnya, bagaikan ada tarikan besi berani untuk saya mendekatinya. Tanpa disedari kaki terus melangkah, sepuluh langkah berjalan, saya sudah tegak di hadapannya. Nyata lelaki itu terkejut dengan kemunculan saya.
“Apa khabar pak cik, termenung jauh nampaknya. Ingatkan siapa?’’ sapa saya.
Untuk seketika dia terpinga-pinga tetapi menyambut salam saya dan menjemput saya duduk di sebelahnya.
“Anak dari mana, apa hal datang ke sini?’’ tanyanya lembut.
“Saya menemani kawan hantar sumbangan... dia ada dalam sana,’’ jawab saya sambil menuding ke arah pejabat. Saya bertanyakan namanya.
“Panggil Pak Long saja... semua orang di sini panggil dengan nama itu,’’ balasnya ramah.
Kami mula berbual dan saya memberanikan diri untuk terus mengajukan soalan tentang kehidupan Pak Long untuk dikongsi dengan pembaca.
Kata Pak Long dia mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan. Kesemuanya lulusan universiti dan memegang jawatan tinggi. Mereka juga sudah berumah tangga. Sayangnya, ilmu tinggi yang mereka miliki tidak termasuk ilmu untuk berbakti kepada ibu bapa. Sudahnya Pak Long ditinggalkan.
“Pak Long semakin kesepian setelah kematian isteri lebih kurang 10 tahun lalu. Sejak ibu mereka tidak ada, anak-anak semakin tidak mengambil berat hal Pak Long.
“Kalau semasa hayat ibu mereka, sebulan dua kali mereka balik tapi bila arwah tidak ada, dua tiga bulan sekali pun payah. Tapi Pak Long tidak pernah merungut kerana faham mungkin masing-masing sibuk.
“Pak Long datang ke sini secara sukarela, tiada siapa memaksa. Walau ada saudara mara tapi Pak Long tidak mahu membebankan mereka. Biarlah Pak Long hidup di sini, tenang menghadapi hari tua.
“Pak Long tidak malu hidup Pak Long berakhir di sini. Buat apa nak malu, memang sudah takdir Pak Long. Tuhan dah susun hidup Pak Long akan berakhir di sini, Pak Long reda. Di sini Pak Long boleh buat apa yang Pak Long suka, beramal ibadat, bercucuk tanam, bertukang dan beriadah ikut kemampuan dan tenaga.
“Di sini bukan Pak Long seorang saja yang nasib macam ini, ramai lagi. Semua ditinggalkan anak-anak dan keluarga. Dah tak sedih lagi. Kita kena terima qadak dan qadar,’’ kata Pak Long.
Saya merenung wajah Pak Long yang suram. Biarpun dia tersenyum tapi saya tahu jauh di sudut hatinya, Pak Long amat sedih dan kecewa dengan sikap anak-anaknya.
Menyingkap perasaannya, saya mengajukan soalan sama ada anak-anak ada datang menjenguk.
Dia merenung muka saya kemudian menggelengkan kepala perlahan-lahan. Daripada senyumannya yang suram saya sudah dapat mengagak jawapannya.
Tekaan saya tepat kerana sejak masuk ke rumah kebajikan itu lebih kurang setahun lalu sekali pun anak-anak tidak datang menjenguk.
“Agaknya mereka malu dan bimbang orang kenal,’’ kata Pak Long sayu. Saya memujuk dengan memintanya bertenang dan bersabar.
“Sepatutnya apabila Pak Long memilih untuk ke sini, Pak Long perlu lupakan kesedihan, yakin diri dan bina hidup baru. Buat apa nak ingatkan yang sedih-sedih.
“Kat sini Pak Long ramai kawan. Tengok, mereka semua sedang menunggu Pak Long untuk berkebun..,” kata saya memujuk.
Pak Long tersenyum. “Tak sama dengan adanya anak-anak dan keluarga sendiri.’’ sambungnya perlahan.
Saya terkedu dengan kata-katanya. Apa lagi yang mampu saya katakan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitu agaknya naluri Pak Long ketika ini. Sesekali Pak Long menarik nafas. Tangannya pula ligat bermain dengan tasbih.
“Pak long tidak kesal datang ke sini. Tapi Pak Long kecewa dengan sikap anak-anak. Kalau seorang buat hal memang lumrah tapi kalau kesemua anak tidak ambil tahu hal kita sebagai orang tua, apa maknanya. Anak jenis apa mereka itu semua?
“Pada hal ketika kecil mereka kita tatang. Kerja siang malam cari duit nak besarkan mereka, nak bagi makan minum, beli peralatan sekolah dan macam-macam.
Menderita
“Bila remaja hantar belajar ke asrama, masuk universiti, luar dan dalam negeri. Sudahnya inilah nasib Pak Long. Tapi nak kata apa, kena reda. Tapi Pak Long tak pernah kesal malah bersyukur sebab mereka semua berjaya dan hidup bahagia. Biarlah Pak Long yang menderita.
“Pak Long gembira kerana arwah mak mereka tidak ikut sama berkongsi derita yang Pak Long tanggung kerana perbuatan mereka. Kalau tidak tentu dia merana kalau diperlakukan begini,’’ rintih Pak Long.
Wajah cengkung Pak Long saya tenung lama. Garis-garis halus yang berbelit-belit jelas kelihatan. Pipinya yang kendur hanya tinggal tulang. Tapi wajahnya tetap berseri-seri terutama kala menyebut arwah isterinya.
Air mukanya jernih dan menyenangkan. Tidak hairan kenapa Pak Long menjadi idola di rumah kebajikan tersebut.
Sejam berbual tidak menjemukan, tak sedar hari hampir Maghrib. Banyak yang saya bongkar daripada Pak Long. Serentak dengan itu, pengetua rumah kebajikan memberi salam melalui corong pembesar suara dan meminta semua penghuni masuk.
Saya nampak si pengetua melambai-lambaikan tangannya ke arah Pak Long.
“Maaf la nak.. Pak Long kena pergi surau, nak azan...terima kasih kerana sudi mendengar cerita Pak Long,’’ katanya tenang.
Saya menghulurkan tangan. Terasa hangat genggaman Pak Long. Tiba-tiba saya menjadi sebak, agakya begitu juga panasnya rindu Pak Long kepada anak-anaknya. Tapi di mana mereka? Tidakkah mereka teringatkan ayah yang dipinggirkan ini?.
Lalu teringat saya akan kata-kata Pak Long. Dia tidak mahu anak-anaknya tahu di mana dia berada. Nombor telefon mereka juga dia tidak simpan.
Ertinya Pak Long masuk ke situ tanpa pewaris. Hanya pesanan kepada yang menguruskan rumah tersebut jika dia memejam mata dalam masa terdekat uruskan pengkebumiannya segera, jangan tunggu anak-anaknya.
Sebak di dada saya semakin menebal. Kala Pak Long bergerak meninggalkan bangku kayu yang kami duduk dengan langkah yang perlahan, air mata saya mula menitis. Teramat hiba hati saya...
Sebaik sampai di pintu utama blok kediaman, Pak Long menoleh dan melambaikan tangannya sambil tersenyum. Saya masih memandang Pak Long kala teman saya memegang bahu saya dari belakang.
“Tu lah... aku dah kata mesti menangis punya. Itu baru satu kes, ada macam-macam lagi di sini. Kalau nak siasat, seribu satu malam pun tak habis,’’ katanya sambil tersenyum.
Kami berjalan ke kereta. Mata saya masih memandang Pak Long. Saya membalas lambaiannya sambil menghidupkan enjin kereta dan berlalu.
Tak sanggup rasanya melihat lambaian itu lebih lama. Saya terperangkap dengan perasaan sendiri. Dalam hati saya berdoa, semoga hidup Pak Long sentiasa dalam peliharaan Allah sehingga dia menutup mata.
Penutup kata sambil mengingatkan diri saya dan juga anda semua, ingin saya lontarkan satu soalan, apakah cukup bakti yang telah kita lakukan kepada ibu bapa kita setakat ini? Jika tidak, apakah yang harus kita lakukan untuk membahagiakan mereka sebelum mereka dijemput Ilahi?

No comments: