MASIH belum terlambat kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 untuk membuat pilihan tepat dan terbaik ke institusi pengajian tinggi (IPT) idaman mereka. Walaupun permohonan ke IPT awam sudah ditutup, banyak lagi IPT swasta masih membuka permohonan.Apa yang pasti masih ada yang buntu mencorakkan masa depan mereka. Umumnya SPM diumpamakan tiket atau landasan pertama ke menara gading di samping saluran diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain lagi.Amat mustahak mereka memilih bidang pengajian di IPT berdasarkan keputusan peperiksaan dan bukan semata-mata minat atau sekadar ingin mencuba nasib dan bersandarkan kecenderungan kepada kursus tertentu yang popular.Ini kerana jika tersalah memilih kursus atau bidang sedangkan kelayakan dan keputusan peperiksaan adalah minimum, peluang untuk mendapat tawaran ke IPT adalah sangat tipis.
Kebiasaannya bidang pengajian atau kursus profesional yang sangat diminati lepasan SPM adalah kedoktoran, kejuruteraan, perundangan, perakaunan dan seni bina yang memerlukan keputusan peperiksaan yang cemerlang.Untuk itu, lepasan SPM perlu bijak memilih bidang atau kursus menepati syarat ditetapkan IPT dan kementerian supaya permohonan dapat diproses dengan sempurna dan peluang mendapat tempat di IPT lebih cerah.Mereka sudah pasti mahu mendapat tempat di IPT yang dipilih dan menerima tawaran kursus atau bidang pengajian diidamkan.Dalam hal ini, ibu bapa dan guru termasuk pelajar sendiri perlu berperanan secara bijak dalam memastikan pilihan sesuatu kursus serta IPT terbaik bagi menjamin kualiti, kepuasan dan pengiktirafan. Ini bagi mengelakkan mereka menghadapi masalah kemudian hari.Mereka harus peka dengan perkembangan, pengemaskinian dan maklumat terbaru berkenaan kursus dan IPT yang dipohon sama ada melalui media cetak, elektronik dan laman web kendalian kementerian serta IPT terbabit.Ketika ini lepasan SPM boleh memilih kursus atau bidang pengajian disediakan di IPT, termasuk peringkat pra, sijil, diploma atau terus ke peringkat ijazah di hampir semua IPT terpilih di seluruh negara di samping beberapa IPT di bawah tajaan dan kelolaan kerajaan negeri.Bagi yang cemerlang, mereka boleh memohon tempat di IPT luar negara, terutama dalam bidang kritikal dan sangat diperlukan seperti sains dan teknologi. Tambahan pula, terdapat banyak agensi kerajaan seperti PTPTN, Mara dan syarikat korporat dan kerajaan negeri yang menyediakan pinjaman serta biasiswa kepada sesiapa yang layak untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.Peluang ini wajar direbut semua lepasan SPM sebagai jaminan pendidikan tinggi sepanjang tempoh pengajian dan salah satu cabang bantuan kewangan mereka ketika di IPT nanti.Lepasan SPM juga perlu berwaspada dengan tawaran dan pujukan beberapa IPT swasta yang tidak mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kementerian. IPT ini dengan agresif sedang mencari pelajar lepasan SPM di seluruh negara.IPT tidak bertanggungjawab ini hanya memikirkan keuntungan tanpa mementingkan kualiti pengajian, kemudahan pendidikan dan keadaan pembelajaran. Oleh itu, pelajar dan ibu bapa perlu berhati-hati dengan taktik, pujuk rayu dan strategi mereka menarik perhatian lepasan sekolah.Bagi yang tidak berjaya ke IPT, mereka boleh mengambil STPM atau memilih kursus atau bidang disediakan di politeknik, kolej komuniti dan institusi kemahiran lain di seluruh negara.Institusi ini dijamin, dikawal dan diselia kerajaan serta boleh dipercayai kualiti pendidikannya.Jika masih gagal mendapat tempat, itu bukan bermakna satu garis penamat dalam hidup, malahan mereka boleh mencuba sekali lagi menduduki peperiksaan SPM. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.SELAMAT BERJAYA.....
No comments:
Post a Comment