KINI, banyak penyakit ganjil yang menyerang dengan pelbagai nama dan tanda mula dikesan. Manusia sangat takut dengan penyakit. Maklumlah penyakit mendatangkan derita, kecacatan, kekurangan malah kematian. Dalam kesibukan menjaga kesihatan dan pencegahan manusia terhadap penyakit fizikal, penyakit rohani pula menyerang. Penyakit fizikal jika terkena tahu tempat berubatnya, boleh berjumpa doktor tetapi jika terkena penyakit rohani, hendak berjumpa siapa?
Payah benar hendak jumpa guru yang murabbi! Bila jumpa doktor, biasanya ada ubat dan penawarnya tetapi penyakit hati apakah ubatnya? Walaupun ada al-Quran dan hadis yang memberikan cadangan mengenainya, berapa ramai yang 'berkenan'? Menelan kepahitan membaca al-Quran, qiyamullail, berpuasa dan sebagainya. Sebagai muhasabah pada Jumaat yang mulia ini mengenai penyakit rohani, elok juga kita meneliti sebuah hadis yang menjadi pesanan Rasulullah s.a.w kepada menantunya Saidina Ali r.a: "Wahai Ali, setiap sesuatu pasti ada penyakitnya: Penyakit bicara adalah bohong, penyakit ilmu adalah lupa, penyakit ibadah adalah riak, penyakit akhlak mulia adalah kagum kepada diri sendiri, penyakit berani adalah menyerang, penyakit dermawan adalah mengungkap pemberian, penyakit tampan adalah sombong, penyakit bangsawan adalah membanggakan diri, penyakit malu adalah lemah, penyakit mulia adalah menyombongkan diri, penyakit kaya adalah kikir, penyakit royal adalah hidup mewah dan penyakit agama adalah nafsu yang diperturutkan..."
Ketika berwasiat kepada Ali bin Abi Thalib r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Ali, orang yang riak itu mempunyai tiga ciri iaitu:
1. Rajin beribadat ketika dilihat orang.
2. Malas ketika sendirian.
3. Ingin mendapat pujian dalam segala perkara.
Wahai Ali, jika engkau dipuji orang, maka berdoalah: "Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik daripada yang dikatakannya, ampunilah dosa-dosaku yang tersembunyi darinya dan janganlah kata-katanya mengakibatkan seksaan bagiku..." Ketika ditanya bagaimana cara mengubati hati yang sedang resah dan gundah gulana, Ibnu Mas'ud r.a berkata: "Dengarkanlah bacaan al-Quran atau datanglah ke majlis zikir atau pergilah ke tempat yang sunyi untuk berkhalwat dengan Allah s.w.t. Jika belum terubat juga, maka mintalah kepada Allah s.w.t hati yang lain kerana sesungguhnya hati yang kamu pakai bukan lagi hatimu...."
No comments:
Post a Comment