Wednesday, June 27, 2007

KURENG TIDUR.....or SLEEPLESS






PERNAHKAH anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberi tumpuan pada kerja atau pelajaran, merasakan otak ‘lebih lembap’ dan lambat berfikir berbanding dulu?Mungkin ada yang berpendapat ia disebabkan peningkatan usia. Mungkin pendapat itu benar tetapi kajian menunjukkan masalah sukar menumpukan perhatian dan ‘kelembapan’ otak ini mempunyai kaitan dengan kekurangan tidur.Keperluan tidur setiap orang berbeza-beza tetapi secara puratanya kita memerlukan tujuh jam tidur yang lena bagi membolehkan badan berfungsi dengan baik pada keesokan harinya.Tidur yang cukup bukan setakat merehatkan badan atau mengelakkan masalah mata cengkung tetapi ia mempunyai manfaat yang lebih penting. Tidur adalah satu keperluan dan ketika inilah badan akan memperbaiki kerosakan yang berlaku pada sel serta membina sel baru.Malah, ketika tidur, otak kita sibuk membuat persediaan untuk menghadapi keesokan harinya. Kajian ke atas haiwan dan manusia mendapati tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu memelihara daya ingatan seseorang.Dalam satu kajian, responden disuruh bermain piano mengikut nada tertentu. Kumpulan yang dilatih pada waktu pagi dan diuji 12 jam kemudiannya tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Tetapi kumpulan ini menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 20 peratus selepas mendapat tidur yang cukup.Kumpulan kedua yang dilatih pada waktu petang juga menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 20 peratus selepas tidur pada waktu malam. Namun, ujian selepas 12 jam berjaga mendapati prestasi responden tidak berubah atau tiada peningkatan. Ini menunjukkan tidur memainkan peranan penting dalam kebolehan belajar.Apa sebenarnya yang berlaku ketika tidur masih belum dapat diterangkan dengan terperinci tetapi penyelidik percaya tidur membolehkan otak memproses semula perkara yang baru dipelajari supaya ingatan itu kekal.Kajian selanjutnya mendapati tidur sekejap pada tengah hari juga dikatakan memberi manfaat terhadap kemampuan untuk belajar. Ujian ingatan terhadap responden yang diberikan empat kursus secara terus menerus menunjukkan keputusan yang agak ‘buruk’. Bagaimanapun, daya ingatan mereka jauh lebih baik apabila diberikan rehat (tidur selama setengah jam) selepas dua kursus. Keputusan ini mencadangkan jika seseorang itu mendapat cukup rehat (fizikal dan mental) mereka mampu mempamerkan prestasi kerja atau pembelajaran yang lebih memberangsangkan.Ini kerana selepas bangun daripada tidur, otak lebih segar dan boleh berfikir dengan cepat dan tepat. Tidur yang mencukupi juga dapat mengurangkan tekanan dan keresahan yang secara tidak langsung boleh menjejaskan kemampuan belajar.Mungkin inilah sebabnya mengapa bayi, kanak-kanak dan remaja memerlukan lebih banyak tidur berbanding orang dewasa. Malah, kajian berkenaan juga menjelaskan mengapa golongan yang amat muda ini mudah menerima dan belajar perkara baru dalam hidup mereka.Malah, tidur juga dianggap amat penting untuk proses pemulihan terhadap kecederaan otak termasuklah pada pesakit strok kerana mereka perlu belajar semula untuk menguasai bahasa dan rutin harian.Ada penyelidik menyarankan supaya kita tidur apabila berasa mengantuk. Namun, ramai yang ‘mengabaikan’ keperluan badan ini dan berusaha melawan rasa mengantuk sehinggalah tiba waktu untuk tidur. Ada juga yang masuk tidur terlalu awal tetapi tidak dapat melelapkan mata walaupun persekitaran bilik tidur sangat menyenangkan.Bagi individu yang bekerja syif juga boleh mendapat manfaat daripada tidur walaupun waktu tidur mereka berubah-ubah. Apa yang penting ialah mereka mesti mendapat tidur cukup dan baik (lena).Tuntutan dan tekanan tugas membuatkan ramai antara kita yang mengalami masalah kekurangan tidur. Bahkan tidak kurang yang kerap terjaga pada waktu malam dan sukar untuk melelapkan mata semula.Akibatnya kita mudah letih, mengantuk dan hilang daya tumpuan jika perkara ini berlanjutan. Malah, lebih buruk kekurangan tidur boleh menyebabkan seseorang mudah tertekan dan mengalami gangguan emosi. Justeru, setiap kali anda menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian, kajilah semula gaya hidup anda. Kekurangan tidur, tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam semuanya memberi pengaruh besar dalam menentukan kualiti hidup kita seharian.

No comments: