Thursday, October 16, 2008

Menjelang Musim Peperiksaan

Peperiksaan pastinya memerlukan persediaan dan usaha. Justeru, masa remaja pada ketika ini mungkin sedang tertumpu kepada aktiviti mengulangkaji pelajaran, membuat latih tubi untuk peperiksaan atau menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Dalam mempersiapkan diri ke arah peperiksaan, harus diingatkan bahawa kejayaan seseorang bukan sahaja bergantung kepada diri pelajar itu sendiri, tetapi juga terletak juga kepada usaha ibu bapa serta guru.
Persediaan pelajar
Penulis yakin bahawa adik-adik telah banyak melakukan latih tubi dan latihan mengulangkaji. Adalah menjadi tabiat yang baik untuk membuat nota kecil dan ringkas untuk mengingati fakta-fakta atau langkah-langkah penting dalam sesuatu subjek.
Menjelang akhir peperiksaan ini, nota-nota kecil akan banyak membantu kerana ia mudah dibawa ke mana-mana dan boleh dibaca bila-bila masa.
Selain itu, adik-adik harus banyak berbincang dengan guru dan rakan untuk mengenalpasti apa-apa kekurangan atau dan memastikan bahawa apa yang adik-adik pelajari dapat diterjemahkan dengan betul dan tepat. Berbincang dan berkongsi ilmu dengan rakan bukan sahaja membantu rakan yang lain, tetapi juga dapat menambahkan kefahaman mengenai sesuatu pelajaran.
Pergaulan dan hubungan dengan orang lain juga harus dijaga. Elakkan bergaduh atau mencari masalah dengan sesiapa supaya ia tidak menganggu emosi adik-adik nanti. Mengenai harapan yang diletakkan pada adik-adik oleh ibu bapa, anggaplah semua itu adalah dorongan dan doa untuk melihat adik-adik berjaya. Ia menunjukkan bahawa ibu bapa masih lagi mengambil berat tentang pelajaran adik-adik, walaupun mereka tidak membantu secara langsung dalam pelajaran adik-adik.
Kesihatan turut menjadi aspek penting menjelang peperiksaan. Kesihatan yang baik bermula dengan pemakanan yang seimbang, senaman yang teratur, tidur yang cukup serta pengawalan emosi yang seimbang. Kini terdapat banyak di pasaran ubat-ubatan atau makanan yang dikatakan menggalakkan kecerdasan minda.
Mungkin ada ubat-ubatan tersebut yang mampu membantu kecerdasan minda, tetapi harus diingatkan bahawa pelajar tidak harus bergantung kepada ubat untuk berjaya dalam peperiksaan. Tanpa usaha untuk belajar, impian untuk berjaya dalam peperiksaan menjadi agak mustahil untuk dilaksanakan.
Dalam Islam, umatnya dianjurkan memakan makanan yang halal lagi baik. (surah al-Maidah ayat 88). Antara hikmah yang terkandung dalam anjuran ini adalah untuk menjaga kesihatan kerana kesihatan yang baik mampu untuk meningkatkan kecerdasan dan mengoptimumkan keupayaan seseorang.
Tawakal juga sangat penting setiap kali kita berusaha. Allah sangat menyukai pada hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya. Justeru, selalulah berdoa untuk diri sendiri dan juga untuk rakan-rakan lain agar sama-sama dapat menikmati kejayaan dalam peperiksaan ini. Dorongan untuk berusaha serta setiap ilmu itu datang daripada Allah, maka pelajar seharusnya tidak melupakan tanggungjawab kepada Allah.
Sebaliknya remaja harus sentiasa mengharapkan bahawa Allah memberkati setiap perjalanan untuk mencari ilmu dan tidak berasa jemu untuk sentiasa belajar perkara-perkara baru.
Persediaan ibu bapa
Ibu bapa juga tidak seharusnya ketinggalan dalam menyokong anak-anak mereka yang sedang menghadapi persiapan akhir menjelang peperiksaan. Galakan dan sokongan dalam bentuk material, kata-kata serta nasihat untuk belajar bersungguh-sungguh akan banyak membantu anak-anak. Paksaan kadangkala tidak menyebabkan anak-anak tertarik untuk belajar, tetapi akan membuatkan mereka malas belajar kerana ia tidak datang daripada dorongan diri mereka sendiri. Apatah lagi jiwa remaja yang suka bertentang dan memberontak, ibu bapa harus berhati-hati. Pada masa yang sama tegas dalam mendisiplinkan masa anak-anak.
Ibu bapa juga boleh memberi ganjaran, tidak semestinya dalam bentuk kebendaan, tetapi dalam bentuk doa dan masa. Doa yang diiringkan kepada anak-anak dengan ikhlas akan sentiasa memayungi semangat dan impian anak-anak dan ibu bapa. Berikanlah pujian dan galakan untuk terus cemerlang lagi, sungguhpun jika keputusan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.
Ramai orang yang berjaya setelah bangkit daripada kepayahan dan kegagalan, justeru ibu bapa wajar menjadi teman yang rapat kepada anak-anak dalam mendorong kejayaan mereka.
Persediaan guru
Peranan guru juga tidak boleh dinafikan dalam persediaan pelajar menjelang peperiksaan. Selain daripada berjasa mencurahkan ilmu serta tunjuk ajar kepada pelajar, guru juga mempunyai peranan yang sama seperti ibu bapa iaitu memberi galakan serta semangat kepada para pelajar untuk berusaha dan berjaya dalam peperiksaan.
Guru-guru hendaklah sedia membantu pelajar apabila mereka memerlukan pertolongan serta ikhlas dalam mendidik mereka. Ini kerana tahap dan keupayaan setiap pelajar adalah berbeza-beza dan guru tidak boleh mengharapkan kesemua pelajar akan dapat menghadam ilmu dengan mudah dan cepat. Oleh itu, kesabaran guru dalam mendidik pelajar adalah sangat dituntut dan sudah tentu ia akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Menjadi yang terbaik adalah impian dan cita-cita setiap orang. Berjaya dalam peperiksaan memerlukan usaha dan sokongan, justeru remaja perlu berusaha keras dan bijak untuk merealisasikan impian untuk berjaya dalam peperiksaan.
Setiap usaha yang dilakukan hendaklah disertai niat ikhlas dan matlamat yang baik, seperti ingin memajukan diri, orang lain serta mengenal pencipta yang agung. Adik-adik harus yakin kemampuan diri sendiri dan bertawakal setiap kali sudah berusaha. Selamat mengambil peperiksaan, insya-Allah doa kami semua mengiringi adik-adik serta rakan-rakan pelajar yang lain.